Kadangkala, teknik meluahkan perasaan kepada seseorang mengenai tekanan perasaan anda kelihatan seperti terlalu mudah atau mungkin kurang berkesan. Tetapi sebenarnya, ia adalah antara teknik yang paling berkesan untuk mengurangkan tekanan perasaan.

Teknik pertama yang saya pelajari untuk membantu sahabat yang mengalami tekanan perasaan ialah (waktu tu saya berada di tingkatan lima, saya pelajari teknik ini daripada guru kaunseling sekolah saya) dengan meminta sahabat saya itu menulis apa yang beliau rasakan di atas kertas. Saya akan arahkan sahabat saya tulis apa sahaja masalah yang beliau ada atau semua masalah yang bermain dikepala beliau.

Yang peliknya, selalunya sahabat saya tidak boleh menulis lebih daripada 5 perkara di atas kertas. Padahal pada mulanya beliau katakan terlalu banyak perkara yang mengganggu fikiran beliau.

Apa yang mengganggu fikiran anda atau membuat anda rasa tertekan selalunya tidak banyak. Tetapi ia tidak teratur dan memuhi minda anda. Akibatnya, anda rasa tertekan kerana tidak mampu mengawalnya. Apabila anda menulisnya, anda dapat melihat masalah itu dengan teratur dan sedar sebenarnya tidak banyak sangat masalah itu.

Apa kaitan teknik ini dengan meluahkan perasaan kepada seseorang yang anda percayai? Kedua-dua teknik ini sebenarnya membuat anda rasa ringan seperti anda telah melepaskan atau menurunkan beban yang anda pikul seorang diri selama ini. Dengan hanya meluahkan sahaja perasaan anda, anda akan rasa lebih tenang dan selesa. Walaupun seseorang yang anda percayai itu tidak berkata apa2, anda masih akan rasa beban anda semakin ringan.

Satu tips daripada saya, jika anda tidak dapat mencari sesiapa yang anda boleh percayai untuk meluahkan perasaan anda, saya cadangkan anda berjumpa dengan seorang kaunselor, sama ada kaunselor professional atau kaunselor sekolah. Seorang kaunselor yang terlatih faham akan teknik ini dan saya percaya mereka pasti dapat membantu anda.

Selamat mencuba