Tuesday, March 10, 2009

nasihat untuk pelajar

Setiap orang ingin berjaya dalam hidup didunia dan juga diakhirat. Namun begitu, tidak semua orang akan berjaya dalam mencapai cita-cita dan keinginan. Yang pasti, kita mesti berusaha untuk mengubah keadaan kita kepada yang lebih baik.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman dalam Al-Quran :-


Adakah patut kamu suruh manusia berbuat kebaikan dan kamu lupakan diri kamu sendiri, sedang kamu membaca Kitab. Tiadakah kamu memikirkan? Minta tolonglah kamu (kepada Tuhan) dengan kesabaran dan (mengerjakan) sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat, kecuali bagi orang-orang yang tunduk (kepada Allah). (Yaitu) orang-orang yang yakin, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepadaNya.

(al-Baqarah 44-46)


Maka hendaklah kita sentiasa menyuruh orang lain berbuat baik, dengan tidak lupakan diri sendiri untuk berbuat baik. Kita juga mestilah meminta tolong kepada Allah s.w.t. dalam apa jua keadaan (susah atau senang), dengan cara bersabar dan sembahyang. Banyakkan sembahyang sunat dan berdoa kepada Allah.


Sebagai pelajar …

1. Mestilah bersikap saperti seorang pelajar. Lupakan semua masalah keluarga, kewangan, peribadi dan lain-lain. Tumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada pelajaran. Biar semua urusan lainnya diurus oleh keluarga, kalau pun kamu melibatkan diri, apa yang boleh kamu buat ?
2. Patuhi semua undang-undang dan peraturan setiap masa. Jangan libatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat atau baik.


Kuliah …

1. Pastikan anda hadir ke kuliah. Jangan berlagak pandai dan cuba belajar sendiri dengan membaca nota kawan atau buku. Kamu tidak tahu apa yang diajar, cakapkan atau fakta-fakta penting yang ditekankan oleh pensyarah semasa kuliah. Jika pensyarah membuat kuiz atau ujian, tentu kamu akan terlepas, dan mendapat markah ‘0’.
2. Fahamilah pensyarah anda. Jika kamu memenuhi kehendaknya, pasti kamu akan mendapat markah yang baik.
3. Duduk sedekat mungkin dengan pensyarah anda. Telah terbukti pelajar yang duduk dekat dengan pensyarahnya (barisan hadapan kelas) selalu mendapat gred yang lebih baik.
4. Pastikan kamu telah membuat pembacaan awal tentang tajuk yang akan diajar. Jangan bawa sahaja nota / monograf yang diberi oleh pensyarah, sebaiknya bacalah nota / monograf itu selalu.
5. Beri tumpuan sepenuhnya akan apa yang diajar oleh pensyarah anda dalam kelas. Jangan mengelamun atau berangan-angan -- dengar, fikir dan ingat apa-apa yang dicakapkan oleh pensyarah anda. Kamu akan merasa lebih mudah memahami pelajaran tersebut semasa ulangkaji nanti.


Belajar …

1. Tetapkan waktu belajar yang sesuai dan sentiasa ikut jadual waktu belajar. Belajarlah di tempat yang sama, dan semasa belajar, betul-betullah belajar !
2. Sentiasa ulangkaji apa-apa yang telah diajar. Hafal dan ingat semua formula yang baru dipelajari dengan segera.


Tugasan …

1. Buat semua tugasan yang diberi oleh pensyarah anda dengan segera. Hantar sebaik sahaja siap dan buat catitan. Jangan hantar lewat !
2. Minta semula tugasan anda dari pensyarah anda apabila ianya telah disemak. Buat pembetulan atau perbaiki jawapan anda. Selalunya tugasan yang diberi adalah berkaitan dengan peperiksaan.
3. Jangan sekali-kali meniru kawan, anda bukan sahaja membazir waktu tetapi melakukan kesalahan dan dosa. Kamu disini adalah untuk belajar, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan memupuk sikap-sikap yang baik. Perbuatan meniru akan menghancurkan segala-galanya !


Akhirnya …

1. anganlah suka memberi alasan atau sebab. Tidak ada orang suka mendengar alasan atau sebab, walaupun benar ! Allah amat benci orang yang suka memberi alasan dan sebab, maka dikunci mulutnya, dan disuruh semua anggota tubuhnya bercakap…
2. Apapun yang hendak dibuat, rancang terlebih dahulu. Orang yang gagal merancang, sebenarnya merancang untuk gagal !
3. Jangan suka tunggu sahaja, bertindak dan berusahalah. Allah akan menganugerahi orang-orang yang terus berusaha tanpa putus asa.

Wassalam.

No comments: